Wartawan dan Etika

BLOG YANG MENGISAHKAN ERTI WARTAWAN, PERANAN, TANGGUNGJAWAB, SERTA ETIKA SEBAGAI PENGAMAL MEDIA

PEMBUKA KATA

Peranan, tanggungjawab, etika sebagai pengamal media di Malaysia

Tuesday, March 30, 2010

Etika Kewartawanan


Berikut adalah video yang kami telah buat dimana etika kewartawanan itu tidak dipatuhi oleh seseorang wartawan dan boleh menjatuhkan reputasi seseorang. Video ini tiada kaitan dengan mana-mana pihak dan ini hanya lakonan semata-mata.

video

Media perlu berusaha bentuk sebuah Malaysia yang bersatu- Najib


NAJIB...Perdana Menteri Malaysia

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata media mempunyai tanggungjawab sosial untuk bekerjasama dengan kerajaan ke arah pembinaan bangsa walaupun mempunyai dasar berbeza.

"Media mungkin mengambil laluan berbeza...Sin Chew mungkin mengambil laluan berbeza...Utusan (Malaysia) mungkin mengambil laluan berbeza..akhbar-akhbar lain mungkin mengambil laluan yang berbeza, walaupun kita mengambil laluan berbeza tetapi kita mesti memberi tumpuan dan sampai ke destinasi akhir," kata Perdana Menteri dalam ucapannya pada sambutan Tahun Baru Cina anjuran Sin Chew Media Group di ibu pejabatnya di sini hari ini.

Najib berkata destinasi akhir bagi media untuk memberi tumpuan ialah " sebuah negara Malaysia yang makmur, harmoni, bersatu padu, lebih baik dan kuat."

Beliau berharap dalam melaksanakan perbezaan dasar masing-masing, media mesti menyedari bahawa mereka perlu mendekatkan hubungan di kalangan rakyat dan bukan memecah belahkan mereka.

"Kita mengambil laluan yang berbeza kerana kita mesti memberikan ruang kebebasan dalam masyarakat kita. Kita mesti memberikan ruang bagi perbezaan pendapat yang walaupun bertentangan tetapi kita mesti sedar bahawa kita bukan memecah belahkan masyarakat ini tetapi kita (mesti memastikan bahawa kita) secara perlahan tetapi pasti untuk membawa semua rakyat Malaysia bersatu," katanya.

Najib juga menekankan bahawa tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh sesebuah masyarakat sepatutnya tidak akan menjejaskan masyarakat yang lain di negara ini.

"Apabila kita mempunyai perbezaan pendapat kita mesti sentiasa sedar..ya kita boleh membuat tuntutan-tuntutan...ya kita boleh membuat kenyataan-kenyataan tetapi itu bukan masalahnya bahawa apa sahaja yang kita tuntut, apa sahaja kita sebut, apa sahaja yang kita buat tidak menjejaskan masyarakat yang lain.

Ia tidak boleh dan tidak sepatutnya mengutamakan kepentingan diri. Ia perlu menjadi asas bahawa apa yang baik untuk masyarakat kita ia juga baik untuk semua rakyat," kata Najib.

Beliau berkata jika semua masyarakat mempunyai pemikiran yang sama," Saya berkeyakinan bahawa kita boleh mendapat seumpama hasil tenunan yang berwarna warni dalam masyarakat kita".

Najib berkata tiada masyarakat di dunia ini yang begitu indah seperti di Malaysia.

"(Dan) di dunia sebelah sini...di Asia Tenggara anda tidak boleh memiliki sebuah negara yang begitu berwarna warni seperti Malaysia. Ia sepatutnya menjadi kekuatan kita dan ia merupakan satu cabaran buat kita. Ia tidak sepatutnya menjadi satu halangan. Ia sepatutnya merapatkan kita," katanya.

Perdana Menteri berkata rakyat perlu bergerak bersama sebagai satu dan sebagai 1Negara dalam semangat 1Malaysia untuk sebuah Malaysia yang kuat dan lebih baik.

Memandangkan tahun ini merupakan Tahun Harimau menurut kalendar Cina, Najib berkata walaupun harimau melambangkan kecergasan dan keberanian tetapi haiwan itu juga merupakan spesis terancam.

"Jadi, jika kita tidak menjaga harimau dengan baik, haiwan itu pasti pupus. (Sama juga) jika kita tidak menjaga negara ini..ia juga akan musnah," katanya.

Beliau menggesa rakyat supaya bersama-sama membina negara ini agar satu legasi sebenar dapat ditinggalkan buat Malaysia. - BERNAMA

Sunday, March 28, 2010

Pendapat dan Cadangan

Media massa adalah bertindak sebagai medium penyampaian maklumat kepada masyarakat. Wartawan adalah menjadi pengantara antara masyarakat dengan masyarakat dimana wartawan itu akan menyampaikan segala maklumat dan perkara yang berlaku kepada orang yang tidak mengetahuinya. Peranan wartawan adalah menyampaikan maklumat dengan tepat dan jujur sama ada dalam penulisan mahupun penyiaran. Selain itu, ia juga berperanan dalam menyampaikan kebenaran dan menghormati asasi orang lain dalam penlisan berita sebelum ia disiarkan.

Konsep etika perlu dijelaskan dengan baik agar tidak disalahtafsirkan. Setiap pengamal media perlulah mengetahui dan memerlukan kod etika dalam pencarian dan penyebaran maklumat. Kod etika juga akan dijadikan panduan kepada pengamal media demi memastikan kredibiliti profesiolisme wartawan terjamin. Tiada undang-undang yang menyatakan hukuman akan dikenakan kepada waratwan yang tidak mengikut panduan kod etika. Dari segi baik dan buruknya adalah bergantung kepada wartawan itu.

Secara peribadinya, kami berpendapat bahawa kod etika ini perlu dijadikan panduan bagi setiap wartawan kerana ia boleh membawa wartawan tersebut ke jalan yang benar dan bukannya menulis laporan tidak berasaskan bukti. Sebagai contohnya, jika seseorang wartawan tersebut memegang konsep etika dalam dirinya, maka segala maklumat yang disiarkan adalah tepat dan jujur serta tidak ditokok tambah oleh mana-mana pihak. Dengan itu juga, kredibiliti berita di hati masyarakat akan menjadi lebih kuat.

Jika wartawan tersebut melakukannya dengan sebaliknya, maka segala laporan yang dilaporkan akan boleh menjatuhkan pihak-pihak tertentu dan ini sudah semestinya akan membuatkan syarikat akhbar terbabit dikecam dan masyarakat akan tidak mempercayainya lagi. Sebagai contohnya, wartawan di syarikat akhbar ABC telah menokok tambahkan laporan mengenai seorang selebriti dengan perkara yang tidak benar dan hal ini sudah semestinya akan menjatuhkan reputasi selebriti terbabit.

Oleh yang demikian, kod etika perlu dijadikan sebagai panduan kepada mana-mana pengamal media sama ada bercetak mahupun elektronik. Namun, untuk mengikut panduan terhadap kod etika, ia perlu bergantung kepada diri pengamal media terbabit.

Kelebihan dan kelemahan Etika Kewartawanan

Di dalam melakukan sesuatu perkara, pastinya mempunyai kebaikan dan keburukan bergantung kepada orang yang melakukannya. Di dalam etika juga mempunyai kebaikan dan keburukan dalam penyampaian sesuatu mesej kepada orang ramai.

Dari segi kebaikan, wartawan akan membuat laporan mengikut etika yang telah ditetapkan dan dengan ini, segala maklumat atau sumber yang digunakan adalah tepat dan masyarakat tidak akan bimbang akan kesahihan maklumat yang disiarkan. Dengan adanya kod kewartawanan, kod ini menentukan apa yang boleh dan tidak boleh oleh pengamal media kewartawanan semasa bertugas.

Melalui etika, wartawan dapat mencorakkan berita mengikut keadaan dengan mengambil kira kesan ke atas masyarakat dan Negara. Oleh itu, demi kepentingan semua pihak, wartawan perlu beroperasi berlandaskan etika . Dengan adanya etika kewartawanan juga, wartawan itu perlu bertanggungjawab dengan tidak meletakkan kepentingan diri melebihi kepentingan masyarakat, abngsa, agama, dan Negara.

Selain itu, kewujudan kod etika kewartawanan akan meningkatkan lagi profesionalisme dan kewibawaan seseorang wartawan. Ia juga dapat membantu seseorang wartawan dalam menghasilkan laporan yang lebih objektif, adil, bertanggungjawab dan tepat. Melalui etika juga akan menjadi panduan kepada wartawan dalam menjalankan tugas dimana laporan yang ditulis oleh wartawan adalah benar serta ketepatan fakta yang adil.

Etika dan kebebasan saling berkait antara satu sama lain. Jika kita mempunyai etika bermakna, kita mempunyai batas-batas tertentu. Kita tidak boleh menulis apa saja yang kita fikirkan wajar dan etika adalah seiring dengan tanggungjawab. Daripada kod kerahsiaan sumber pula, dengan adanya kod etika yang diamalkan oleh wartawan itu, wartawan akan menghormati rahsia professional berhubung dengan sumber maklumat.Wartawan juga perlu menggunakan cara atau saluran yang betul untuk mendapatkan berita, gambar dan dokumen yang berkaitan.

Bagi kelemahan dalam etika kewartawanan pula, banyak maklumat yang diperolehi oleh wartawan itu disekat oleh orang ketiga kebanyakkan akhbar utama di Negara ini dikawal oleh kerajaan yang memerintah. Sebagai contohnya, sekiranya berlaku penyelewengan daripada Menteri didalam kerajaan, para wartawan akan disekat untuk menyiasat perkara ini kerana pihak kerajaan menganggap ini akan menjatuhkan reputasi dan nama Negara dan sekaligus laporan yang disediakan oleh wartawan akan disekat. Di dalam perkara ini, kebebasan wartawan dalam penulisan laporan disekat dan ini semestinya akan membuatkan yang salah terus melakukan kesalahan.

Hal ini berbeza dengan berlaku di Negara barat dimana kebebasan pengamal media dalam melaporkan sesuatu tidak disekat dan disifatkan bebas untuk menyiarkan sesuatu perkara. Meraka juga tidak takut dengan tindakan yang bakal dihadapi kerana mereka menganggap apa yang disiasat dan dilaporkan adalah benar dan tidak ditokok tambahkan.

Selain itu, dengan adanya kod etika dan undang-undang juga, pengamal media akan tersekat dalam penyiasatan dan laporan yang ingin dikemukakan. Hal ini kerana, sekiranya wartawan tersebut menjatuhkan reputasi orang kenamaan, mereka takut akan dikenakan tindakan daripada pihak atasan dan ini menyebabkan mereka tidak berani menyiasat sedalamnya dalam sesuatu kes.

Perkara yang kita boleh lihat pada masa sekarang adalah berkaitan dengan mainan politik antara kerajaan dan pembangkang. Kebanyakan akhbar adalah dipegang oleh kerajaan dan segala wartawan pelulah memihak kepada kerajaan walaupun ada masanya kerajaan silap dalam melakukan sesuatu perkara. Dalam perkara ini, akhbar-akhbar akan menyiarkan segala perkara kebaikan dalam kerajaan dan akan memburukkan dan menjatuhkan reputasi parti pembangkang dan ini sudah semestinya akan menyebabkan berat sebelah berlaku.

Pada pendapat saya, pengamal media dan organisasi akhbar sepatutnya adil dalam penyebaran berita dan tidak seharusnya memihak kepada mana-mana pihak kerana takut akan kuasa daripada pihak tertentu. Sekiranya pihak kerajaan melakukan kesalahan, media haruslah jujur dalam penyampaian maklumat dan bukannya menyorokkan kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan dan terus menjatuhkan reputasi parti pembangkang.

Daripada kes penyiasatan pula, kita dapat lihat bahawa negara kita kurang dalam melahirkan wartawan penyiasatan dimana kebanyakannya menyatakan kebebasan mereka disekat untuk melakukan siasatan terhadap sesuatu perkara dan kemungkinan akan dikenakan tindakan sekiranya berkeras untuk terus menyiasatnya. Sebagai contohnya, kes seorang wartawan Suara Keadilan, Qayum Rahman telah meminta pihak polis untuk menyiasat insiden berkenaan ugutan dan gangguan daripada “polis cawangan khas” berikutan rentetan dari siasatnnya terhadap berita di Kampung Bukit Rokan, N.Sembilan. Hal ini kerana ia melibatkan orang kenamaan yang ditemubual oleh wartawan terbabit.
Dari segi etika dan undang-undang juga menyebabkan perkara seperti ini disekat untuk mendapat maklumat yang lebih lanjut. Apa yang berlaku disini boleh dilihat dari pelbagai perspektif termasuk persoalan berkenaan kebebasan media yang cuba diterapkan oleh wartawan terbabit.

Secara kesimpulannya, masyarakat haruslah menilai sendiri sama ada baik atau buruknya mesej yang disampaikan oleh media dan kami berpendapat bahawa tidak perlu menyekat kebebasan akhbar kerana sekiranya maklumat yang diperolehi adalah betul dan tepat, maka kita harus berdepan dengan kenyataan dan bukannya menyorokkan kesalahan terbabit.

Wartawan Sebagai Pengawas

Gambar Hiasan

Wartawan juga berperanan sebagai pengawas atau watchdog ke atas kerajaan dan institusi-institusi negara yang lain. Mereka bukan sahaja bertanggungjawab untuk melaporkan berita sahaja, malah ia juga berperanan untuk membela mereka yang lemah, tertindas dan terpinggir daripada asakan dan golongan yang terpengaruh dan berkuasa.

Secara lebih spesifik, peranan wartawan disini adalah sebagai penyemak dan pengimbang terhadap tiga institusi utama yang lain iaitu eksekutif, legislatif, dan judisiari.
Sebagai pengawas, media ada tanggungjawab untuk memastikan bahawa dasar dan program kerajaan yang dijanjikan ditunaikan sebaiknya.

Menurut pengarang Eksekutif akhbar the sun, Zainon Ahmad pula berpendapat tugas sebagai watchdog ini berkesan dilakukan oleh media jika ia mendapat maklumat yang betul. Maklumat itu kemudian disalurkan untuk pengetahuan umum dan berdasarkan maklumat itu pihak berkuasa wajub mengambil langkah-langkah pembetulan. Jika tidak, media akan hanya menjadi anjing penyalak yang tidak berkesan. Menurut beliau seperti “anjing yang memerhati dan menyalak,” tugas media adalah untuk melapor atau memaklumkan. Jadi, sekiranya peranan media disamakan dengan anjing pengawas, maka terpulang kepada rakyat dan pihak berkuasa untuk memutuskan dan bertindak berasaskan maklumat yang diberikan.

Walaubagaimanapun, tugas wartawan bukan sahaja melaporkan sahaja, ia juga berperanan untuk mendesak kerajaan untuk membuat dasar yang baru bagi membantu mereka yang lemah. Sebagai contohnya, dasar pembantu rumah yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk melindungi pembantu rumah yang didera akibat desakan media yang menyiarkan laporan mengenai penderaan terhadap pembantu rumah. Hal ini membolehkan kita melihat betapa besarnya peranan wartawan kepada masyarakat.

Tujuan Etika Kewartawanan

Di Malaysia, terdapat dua versi yang telah dikeluarkan, antaranya adalah Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) dan Organization for Newspaper Editor (ONE) atau Malaysian Press Institute (MPI).
Kedua-dua pertubuhan iaitu ONE dan MPI telah melancarkan kod etikanya pada tahun 1989 yang diterajui oleh kelompok yang sama iaitu para editor akhbar.
Pelancaran kod etika oleh ONE dan MPI adalah disebabkan mereka merasakan kod etika yang digunakan oleh NUJM adalah untuk ahli-ahlinya yang terdiri daripada wartawan bukan eksekutif organisasi media dan tidak sesuai untuk dipraktikkan oleh jabatan pengarang setiap organisasi media.
Walaubagaimanapun, kedua-dua kod etika NUJM dan ONE-MPI sebenarnya tidak mengikat wartawan sebagai satu dokumen undang-undang yang mesti dipatuhi sebaliknya pengamalannya adalah secara sukarela.

Sebenarnya Kod Etika Kewartawanan Malaysia juga bertindak sebagai Kod Perilaku Profesional Anggota Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia yang telah diperkenalkan lebih awal berbanding kod etika ONE-MPI. Kod etika yang dietengahkan oleh NUJM adalah seperti berikut:

1. Menghormati kebenaran serta hak orang ramai untuk mengetahui kebenaran merupakan tugas setiap wartawan.

2. Di dalam melaksanakan tanggungjawab ini, wartawan akan mempertahankan kedua-dua prinsip ini;-kebebasan memungut dan menerbitkan berita dengan jujur serta hak untuk mengeluarkan ulasan dan kritikan secara adil.

3. Wartawan hanya akan melaporkan fakta-fakta yang diketahui asal-usulnya. Wartawan tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat atau memalsukan sebarang dokumen.

4. Wartawan akan menggunakan kaedah yang adil untuk memperoleh berita, gambar dan dokumen.

5. Sebarang maklumat yang dilaporkan sekiranya didapati tidak tepat, maka wartawan harus berusaha untuk memperbetulkannya.

6. Wartawan akan menghormati rahsia professional berhubung dengan sumber maklumat.
7. Wartawan akan menganggap perbuatan-perbuatan ini sebagai kesalahan yang paling besar: plagiat, mengumpat, fitnah lisan (slander), fitnah bertulis(libel) dan tuduhan-tuduhan tidak berasas. Penerimaan sogokan dalam apa bentuk sekalipun sebagai saguhati untuk penerbitan atau menyembunyikan maklumat.

8. Wartawan mengiktiraf hak rakan-rakan sekerjanya berhubung dengan soal-soal professional bidang itu; wartawan akan menolak sebarang bentuk campur tangan daripada kerajaan atau pihak-pihak yang lain.

Jika dilihat, Kod Etika Malaysia ONE-MPI juga mengamalkan lapan prinsip NUJM diatas, bezanya Cuma mereka meletakkan mukadimah tiga perenggan yang mengikrarkan dokongan terhadap Rukun Negara, kestabilan dan keselamatan anasional serta cita-cita Negara. Secara keseluruhannya Tatasusila Kewartawanan Malaysia ONE-MPI itu adalah berbentuk seperti berikut:-

Bahawasanya wartawan akan mendokong prinsip-prinsip Rukun Negara dan cita-cita nasional yang terkandung di dalamnya: menyedari peranannya untuk member sumbangan kepada proses pembinaan Negara; menyedari kewajipan untuk member sepenuh sumbangan pada pemupuk keharmonian antara kaum dan perpaduan nasional.

Menyedari bahaya komunisme, perkauman dan ketaksuban agama kepada kestabilan dan keselamatan Negara;menyedari pentingnya masyarakat liberal,toleran, demokratik dan peranan tradisi kewartawanan bebas dan bertanggungjawab yang berkhidmat untuk rakyat, dengan melaporkan fakta-fakta yang benar tanpa rasa takut atau berat sebelah; menyedari bahawa kewartawanan yang amanah adalah suatu aset kepada Negara.

Menyedari pentingnya menegakkan nilai pekerti masyarakat yang baik dan asli; menyedari bahawa tiada sebarang sekatan boleh diadakan bagi penyertaan seseorang ke dalam profesion wartawan untuk memberi sumbangan kepada penggubalan sesuatu dasar Negara.
Sebagai kesimpulannya sebarang etika kewartawan itu adalah sebagai sesuatu yang memandu dunia kewartawanan Malaysia, baik kod etika NUJM mahupun ONE-MPI dimana kedua-duanya mempunyai nilai asas yang mahu dipertahankan oleh para wartawan dimana juga iaitu kebebasan, kebenaran, kesaksamaan dan kehormatan.

Etika pengamal media di Malaysia adalah berbeza dengan Negara yang lain. Bagi etika yang diamalkan di Malaysia adalah bersifat tiada kebebasan mutlak daripada penyampaian mesej kepada masyarakat. Pengamal media di Malaysia lebih terikat dengan undang-undang dimana segala fakta atau pendapat yang dikeluarkan oleh pengamal media tersebut perlu lebih berhati-hati demi kesejahteraan Negara. Isu-isu sensitif juga perlu dielakkan bagi mengelakkan perselisihan faham antara perpaduan.

Berbanding pula di Amerika Syarikat, media di Negara tersebut adalah lebih bersifat bebas dimana media mengawal kerajaan. Di dalam perkara ini, pihak kerajaan terpaksa akur dengan segala maklumat yang disampaikan oleh media dan media mempunyai pengaruh yang besar sehingga boleh menjatuhkan pemimpin bagi Negara terbabit. Bagi Negara ini juga jarang menggunakan etika kerana isu sensitiviti kaum sering diutarakan dan dijadikan bahan laporan kepada masyarakatnya.

Mereka juga tidak tunduk kepada undang-undang sekiranya terdapat kebenaran dalam sesuatu perkara. Berita yang disiarkan juga tidak perlu ditapis oleh pihak ketiga kerana sekiranya mempunyai pihak ketiga dalam penapisan berita, maka setiap info atau maklumat yang ingin didedahkan akan disekat.

Wartawan sememangnya berhak mengeluarkan sebarang berita dan fakta. Namun, tatkalanya hasil laporan segelintir wartawan adalah cetek dan mempunyai kelemahan dalam mengeluarkan fakta. Malah, kekurangan sumber juga pasti akan menyebabkan masyarakat kurang percaya terhadap media. Keraguan daripada pembaca tentang isi kandungan berita dalam jangka masa panjang tentu akan menjejaskan kredibiliti serta imej wartawan serta organisasi media yang diwakilinya.

Dari segi ini, kita dapat lihat dengan jelas kebebasan media antara Malaysia dengan Negara barat dan kita seharusnya mencontohi Negara barat dimana kebebasan yang diamalkan adalah secara telus dalam menyampaikan maklumat kepada pembaca tanpa berselindung daripada menyatakan kebenaran.
Walaubagaimanapun tidak semua kebebasan yang diamalkan oleh barat boleh diterima, selagi kebebasan tersebut tidak keterlaluan dan diyakini daripaada sumber yang tepat supaya tidak menimbulkan keadaan salah faham kepada pembaca.

Etika dan kewartawanan


Gambar Hiasan

Jika bercakap tentang etika kewartawanan, ianya sering berhadapan dengan situasi tarik tali antara unsur untuk menghasilkan berita yang komersial dan tangunggjawab sosial. Menghasilkan berita sensasi dapat melariskan akhbar dan majalah. Berhadapan dengan keadaan ini, wartawan harus membuat pertimbangan bijak dan bekerja secara kreatif dalam menyampaikan mesej kepada pembaca.

Pandangan popular mengatakan jika wartawan tidak memenuhi kehendak pembaca, maka akhbar dan majalah mereka akan berhadapan dengan kegagalan dari sudut jualan dan persembahan produk kepada pembaca. Mungkin pandangan ini tidak seharusnya dipegang oleh wartawan kerana menjadi wartawan bukan sahaja menjadi pencatat peristiwa tetapi mereka perlu mencipta peristiwa.
Proses ini berlaku melalui penyaluran mesej yang betul terhadap pemikiran pembaca. Kualiti sesebuah penulisan itu tidak hidup sendiri. Ia perlu bergabung dengan kemahiran-kemahiran individu lain dengan melibatkan grafik, reka letak, pemasaran, gaya persembahan dan proses pujukan pelanggan. Sinergi ini akan menjadikan satu produk kelihatan hebat dan menarik pelanggan.


Gambar Hiasan

Kalau kita mematuhi kod etika kewartawanan sudah tentu tidak ada masalah. Dalam pengertian yang paling mudah, etika bermaksud jika anda memandu ikutlah peraturan jalanraya. Atau jika anda meletak kereta, letakkan di tempat letak kereta yang betul. Jika anda mematuhi peraturan, kereta anda tidak akan terbabas.
Begitulah juga, jika anda seorang wartawan yang mengamalkan etika kewartawanan dengan betul, anda tidak perlu risau dengan cabaran. Etika kewartawanan adalah merupakan satu sistem yang merangkumi prinsip dan perilaku yang boleh membimbing para wartawan ke arah perilaku yang lebih bertanggungjawab. Etika juga sesuatu yang berlandaskan falsafah kebenaran dan kejujuran.

Etika kewartawanan adalah satu sistem yang merangkumi prinsip dan perilaku yang boleh membimbing para wartawan ke arah perilaku yang lebih bertanggungjawab. Bagi perspektif Islam, etika adalah berlandaskan falsafah kebenaran dan kejujuran.

Mus Chairil Samani (1996), mendefinisikan bahawa kod etika ialah garis panduan sistematik yang menetap dan mengawal tingkah laku yang bersifat unggul bagi anggota sesuatu profesion manakala , etika kewartawanan adalah undang-undang dalam bidang kewartawanan.( Mior Kamarul Shahid)

Setiap wartawan bebas menyata dan menyuarakan pendapat masing-masing dalam penulisan sesuatu laporan, namun setiap pandangan yang dinyatakan perlulah mempunyai batasan dan bukannya pandangan yang boleh menjatuhkan mana-mana pihak. Untuk menjadi seorang pengamal media yang berjaya, setiap wartawan perlulah mempunyai sikap etika dalam diri masing-masing.

Tanggungjawab Wartawan


Gambar Hiasan


Dalam menjalankan tugas setiap wartawan di negara ini disarankan supaya mematuhi rukun moral yang digariskan oleh Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (National Union of Journalists). Rukun moral yang digariskan oleh Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia(NUJM) ialah:

1. Menghormati kebenaran dan hak orang ramai untuk mendapatkan laporan yang benar
dan Tepat.
2. Mempertahankan dua prinsip penting iaitu kebebasan mencari dan mencetak laporan
secara jujur dan hak mengulas dan menegur secara adil tanpa tekanan daripada mana-
mana pihak.
3. Laporan yang dibuat hanya berdasarkan fakta-fakta yang jelas dan sahih daripada
sumber juga yang jelas dan sah.
4. Cara yang digunakan untuk mendapat berita, gambar dan dokumen penting hendaklah
secara jujur dan mengikut undang-undang.
5. Sanggup menyiarkan kembali kenyataan yang benar jika berlaku kesilapan dalam
laporan awal.
6. Memelihara supaya tidak menyiarkan sumber jika diminta berbuat demikian.
7. Mengelakkan kesalahan besar dengan sengaja yang termasuk plagiarisme, fitnash,
umpat, tohmahan, cacian, tuduhan tanpa asas, rasuah supaya menyiar atau
menyembunyikan sesuatu dalam laporan.
8. Tidak tunduk kepada sebarang tekanan, paksaan atau ancaman untuk mempengaruhi
keputusan terhadap laporan yang difikir penting dan patut diketahui umum.


Gambar Hiasan

Berdasarkan rukun moral ini, tidak dinafikan tanggungjawab wartawan adalah melaporkan perkembangan dan kejadian yang benar, sama ada mengenai kejayaan, kelemahan atau kepincangan dalam masyarakat untuk kepentingan orang ramai. Bagaimanapun tanggungjawab ini tidak dapat ditunaikan sepenuhnya dalam semua keadaan di bawah semua sistem pemerintahan. Ia berbeza mengikut suasana atau sistem pemerintahan sesebuah negara serta corak hidup masyarakat negara tersebut.


Dalam negara demokrasi, wartawan bukan hanya wajib melaporkan apa yang benar, tetapi juga melaporkannya dengan penuh tanggungjawab dan keyakinan bahawa laporannya adalah semata-mata untuk kebaikan dan kepentingan rakyat dan negara keseluruhannya.

Definisi Kewartawanan

Kewartawanan bermaksud usaha mengumpul bahan, menulis, menyunting dan menerbitkan bahan-bahan tersebut dalam akhbar, majalah, televisyen atau radio.

Wartawan ialah orang yang bertugas dalam bidang kewartawanan, sama ada kewartawanan akhbar, majalah, televisyen atau radio.

Terdapat dua jenis kewartawanan, iaitu kewartawanan cetak dan kewartawanan elektronik. Kewartawanan cetak merangkumi media akhbar, majalah dan buku, manakala kewartawanan elektronik ialah merangkumi TV dan radio.

Kewartawanan cetak bermaksud pengumpulan bahan, menulis dan menerbitkannya dalam media cetak seperti akhbar atau majalah manakala kewartawanan elektronik pula merujuk kepada usaha mengumpul bahan, menulis dan menyiarkannya dalam media elektronik sama ada TV atau radio.

Walaupun terdapat perbezaan dari segi tumpuan kandungan, peranan yang dimainkan oleh kedua-dua bentuk kewartawanan ini adalah penting. Keberkesanan penyiaran radio dan TV dalam menyampaikan maklumat dan berita kepada orang ramai dengan pantas dan terkini sudah tentu lebih berkesan dibandingkan dengan liputan yang dibuat akhbar yang biasanya disiarkan pada keesokan hari. Namun akhbar mampu pula melaporkan secara terperinci akan sesuatu peristiwa. Malah sebahagian besar kandungan akhbar adalah berita dan maklumat.

Dengan kata lain sasaran media elektronik adalah kepada selesa pendengaran dan tontonan, sementara media cetak adalah kepada pembacaan.

Tugas menghasilkan berita sama ada untuk media cetak atau elektronik adalah terletak pada wartawan. Wartawanlah yang bertanggungjawab terhadap setiap berita yang disiarkan oleh kedua-dua media ini.

Bagi media elektronik terutama TV, kejayaan atau keberkesanan peranan yang dimainkannya amat bergantung kepada mutu dan skop liputan siaran beritanya, manakala bagi media cetak pula tidak dapat dinafikan bahawa beritalah yang melambangkan kejayaan sesebuah akhbar atau majalah.

Untuk menghasilkan berita yang bernilai tinggi dan mendapat kredibiliti daripada masyarakat, seseorang wartawan itu perlulah mengikut etika kewartawanan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Etika amat penting dalam diri wartawan kerana ia boleh menentukan samaada wartawan tersebut jujur atau sebaliknya dalam penyebaran maklumat kepada orang ramai.

Pengenalan Media Massa










Gambar Hiasan


Dalam dunia serba moden yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi ini, media massa memainkan peranan yang penting dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat. Media juga memainkan peranan sebagai agen sosialisasi menerusi laporan dan berita yang disiarkan kepada masyarakat umum (Samsuddin, 1997).

Ledakan teknologi komunikasi digital memberi impak yang besar dalam media penyampaian, penyebaran dan medium sumber-sumber maklumat. Kemajuan dalam teknologi ini menyumbang kepada pengembangan dalam penyampaian berita dengan lebih dinamik dan ini merupakan budaya baru yang telah mendorong kepada kebangkitan alternatif baru, memperoleh berita di hujung jari melalui internet.

Media massa dianggap sebagai medium kepada alat komunikasi di mana masyarakat akan memperolehi maklumat semasa membuat capaian daripada akhbar sama ada secara bercetak mahupun elektronik. Media massa juga sebagai komunikasi yang bersifat ‘impersonal’ di mana maklumat yang ingin disampaikan diperolehi oleh penerima (Gould dan Kolb, 1964).

Dominick (2002), menyatakan bahawa fungsi media massa terbahagi kepada dua perspektif iaitu analisis makro dan analisis mikro. Analisis mikro adalah ditahap masyarakat secara keseluruhannya dan analisis makro ialah tahap yang mendekati individu sebagai penerima mesej atau khalayak.

Secara umumnya, fungsi media massa adalah terbahagi kepada tujuh iaitu, pengawasan, menginterpretasi, penghubung, mentransmisi nilai, menghibur, membujuk, dan mempengaruhi tindakan yang kolektif.